SESI PENERANGAN BERKAITAN ALAM SEKITAR, SOSIAL DAN TADBIR URUS (ESG) DAN PROGRAM MyHIJAU

23 April 2024 - Berdasarkan hala tuju Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sektor peranti perubatan merupakan antara sektor utama yang turut diperkasakan dan perlu mencapai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan matlamat kemampanan. Selaras itu, sesi penerangan berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Program MyHijau telah diadakan di pejabat MDA.

Seramai 15 orang pegawai MDA dari Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Bahagian Kawalan Pra Pasaran, dan Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Industri hadir ke sesi penerangan ini bertujuan untuk mendapatkan penerangan dan pemahaman ke atas keperluan ESG khususnya program MyHIJAU dalam membantu pertumbuhan industri peranti perubatan. Penerangan berkaitan program MyHijau ini diberikan oleh wakil Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) iaitu En. Nazmi Syahrin Bin Kasmurin dan Puan Nor Aslaili binti Mahmood. Selain daripada itu, pihak MDA juga telah memberikan sedikit penerangan berkenaan skop kawalan dan aktiviti utama MDA kepada pihak MGTC diikuti dengan perbincangan dua hala antara kedua-dua pihak untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas bagi menggalakkan penerapan program MyHijau dikalangan industri peranti perubatan. Sesi ini telah dipengerusikan oleh Puan Nashirah Naiimi daripada Cawangan Perancangan Strategik, DASAR, MDA.

Susulan dari sesi penerangan ini, kajian lanjut akan dijalankan bagi pembangunan dasar bagi menggalakkan program MyHijau dalam industri peranti perubatan.

MDA turut merakamkan ucapan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada MGTC atas kerjasama dan kesudian memberikan penerangan ini.